Sunday, May 18, 2008

Merancang Pengurusan Kewangan

Topik yang diperbincangkan kali ini berkenaan dengan pengurusan kewangan pasangan anda. Ia lebih kepada mereka yang telah berkeluarga. Saya memilih topik ini kerana ia agak kurang di bincangkan walaupun ia adalah merupakan satu isu yang amat penting pada hari ini.
Antara situasi yang mungkin pernah berlaku kepada diri anda :
“Aku cukup bengang dengan bini aku. Setiap bulan hampir separuh dari wang gaji bulanan kami habis hanya semata-mata untuk membeli kasut baru. Aku takut kalau-kalau tabiat isteri aku ni akan menyebabkan kami menghadapi krisis kewangan kelak…”
dan satu lagi situasi..
“Semasa aku baru je kahwin dengan suami aku, suka juga melihat kereta kami di ubahsuai, maklumlah masa tu berdarah muda. Tapi sejak ada dua orang anak ni, makin menjadi-jadi pula hobi suami aku tu. Banyak duit simpanan kami digunakan hanya untuk menjadikan kereta kami lebih hebat dan cantik. Entah macam mana nasib kami kelak bila simpanan kami habis…”
Dua situasi di atas merupakan luahan yang boleh dikatakan biasa kita dengar. Konflik kewangan di kalangan pasangan memang wujud. Ada pasangan yang telah berkahwin bertahun-tahun tetapi hanya berbincang mengenai hal kewangan apabila timbul krisis kewangan yang sepatutnya di elakkan dari awal-awal lagi.

Jadi, apakah cara yang terbaik untuk anda yang telah berkahwin bagi memastikan pengurusan kewangan anda dan pasangan anda berjalan dengan baik? Berikut adalah beberapa cadangan yang praktikal boleh anda lakukan.

-Salah seorang daripada anda sepatutnya memberanikan diri untuk bertanya dan berbincangan mengenai hal-hal kewangan.
-Tanya kepada pasangan anda mengenai corak dan tabiat kewangannya seperti cara perbelanjaan, tanggungan hutang dan sejauh mana pasangan anda tahu mengenai pelaburan.
-Beli dan bacalah buku-buku mengenai pengurusan kewangan atau berjumpalah dengan pakar perancangan kewangan untuk memperbaiki corak anda dan pasangan menguruskan kewangan.
-Bincangkan juga tentang impian kewangan anda serta bagaimana anda dan pasangan mahu menghadapi waktu-waktu persaraan kelak.
-Bincangkan juga cara-cara bagaimana mahu meningkatkan hasil pendapatan dan bagaimana cara yang terbaik untuk mengurangkan perbelanjaan serta banyakkan menyimpan untuk masa depan.
-Soal yang paling penting sekali ialah bagaimana anda dan pasangan anda boleh melindungi diri dan keluarga sebagai jaminan apabila berlakunya musibah yang tidak dapat dielakkan. Maksud saya ialah perlindungan dari segi insurans seperti insurans perubatan, kemalangan dan sebagainya.
-Bahagikan tanggungjawab menguruskan kewangan dan elakkan dari hanya seorang sahaja yang menguruskan kewangan.

Kesimpulannya, mahu atau tidak anda perlu menetapkan satu hari untuk “meeting” bersama pasangan anda di mana anda dan pasangan anda boleh menyedarkan diri mengenai status kewangan masing-masing.Pilihlah satu masa yang sesuai. Berbincanglah secara baik dengan pasangan anda. Apa yang penting ialah bersikap jujur, terbuka dan sanggup menerima hakikat walaupun pahit. Ingatlah! Ini adalah untuk kebaikan dan kebahagiaan masa depan anda dan anak-anak.
Fikirkanlah .

No comments: